IsLAm AgAmA AnA

Monday, November 10, 2014

10 MUWASAFAT TARBIYYAH @ 10 SIFAT FARDHU MUSLIM

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

MUWASAFAT TARBIYYAH atau juga dikenali dengan nama SIFAT FARDHU MUSLIM.

Muwasafat tarbiyyah adalah sikap dan peribadi yang sangat penting yang wajib ada dalam diri setiap individu muslim dalam menjana diri sebagai muslim yang baik.

Dari segi rohaninya, muwasafat tarbiyyah adalah sifat fardhu muslim yang mendidik jiwa rabbani yang syumul dan universal. Jiwa rabbani adalah jiwa yang dibaluti rasa ketuhanan dan kehambaan kepada Allah Azza Wa Jalla , yang mencintai dan penuh rasa ingin taqarrub ilallah.
Ya, itu jiwa kehambaan muwasafat tarbiyyah.

PESAN IMAM HASSAN AL-BANNA ; WAJIB KE ATAS SETIAP MUSLIM BERMULA DENGAN MEMPERBAIKI DIRINYA , KESEMPURNAAN ITU DAPAT DILIHAT PABILA IA TELAH DAPAT MEMILIKI BEBERAPA PERKARA YANG MENJADIKAN IA MAMPU UNTUK MEMIKUL TANGGUNGJAWAB AMAL ISLAMI. 

10 Muwasafat Tarbiyyah :

1) Salimul Akidah ( akidah yang bersih )
2) shahihul 'ibadah ( ibadah yang shahih )
3) matinul khuluq ( akhlak yang kukuh )
4) Qawiyyul Jismi ( kekuatan jasmani )
5) Mutsaqqal Fikri ( intelektual dalam berfikir )
6) Mujahadatunnafsi ( melawan hawa nafsu )
7) Harisun 'Ala Waqtihi ( pandai menjaga waktu )
8) munazzhamun fi Syuunihi ( teratur dalam sesuatu urusan )
9) qadiran 'alal kasbi ( ada kekuatan untuk usaha sendiri )
10) nafi'un lighairihi ( bermanfaat kepada orang lain )


1.) Salimul 'Akidah

Hati yang dididik dan dibaja dengan kesucian akidah yang bersih kepada Allah S.W.T. tidak mungkin akan dihinggapi penyakit tidak ikhlas dalam beribadat kepada Allah, atau apa - apa penyakit jiwa yang menjerumus kepada kotornya akidah kita. Akidah yang bersih perlu disemai, bukan hanya mengharap.
Redha terhadap ketentuan takdir Allah akan dapat membebaskan seorang mukmin dari rasa cemas , takut dan putus asa.

Allah bersabda dalam firmannya yang bermaksud : Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan , sedang ia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.  (an-Nahl : 17 ) 

Disebabkan memiliki akidah yang bersih itu adalah sesuatu yang amat penting, maka sebagai bukti, dalam dakwah baginda Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat dimekah , baginda sangat mengutamakan pembinaan akidah , iman dan tauhid. Setiap muslim, atas dasar Allah pencipta wajib berpegang teguh kepada dua kalimah syahadah dengan sepenuh pegangan, menyerahkan segala perbuatan kepada Allah seperti firman Allah :

mafhumnya : Sesungguhnya solatku , ibadahku , hidupku dan matiku semua bagi tuhan semesta alam. 

2.) Shahihul 'Ibadah' 

Dalam hadis Rasulullah S.A.W. : "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat" .
Di sini sahaja sudah membuktikan setiap ibadah yang kita lakukan mesti berpandukan nas dan dalil dari al-quran dan dari rasulullah sendiri iaitu hadis. Tidak boleh ada sebarang sumber penambahan dan pengurangan dalam beribadah. Semuanya perlu kembali kepada nas. Untuk mendapatkan ibadah yang shahih ini, kita perlu ada tarbiyyan rohani, iaitu satu bentuk tarbiyyah yang kita akan dapat rasa bila kita sampai tahap kita rasa nikmatnya beribadah dan kita akan rasa kekuatan dan semangat untuk beribadah , semakin sensitif dengan dosa dan sabar dalam setiap perkara. Ibadah yang benar, adalah suatu ibadah yang kita perlu minta, minta dan sentiasa minta kepada Allah. minta dengan sesungguh minta dengan banyakkan berdoa, khalwah ( mengasingkan diri dengan niat beribadah semata-mata) , berzikir dan lain-lain.

Dalam kitab Hikam ada disebutkan yang bermaksud :
 " SOLAT ITU ADALAH SEBAGAI PENYUCIAN HATI DARI KEKOTORAN DAN SEBAGAI PEMBUKA KEPADA PINTU GHAIB " 

firman Allah dalam surah al-Ma'un : Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya ; , (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan rial (bangga diri dalam ibadat dan apa yang disampaikannya) , dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). 

3.) Matin Al-Khuluq

Akhlak yang kukuh adalah sinergi daripada akidah yang bersih dan ibadah yang benar. Maka, terhasillah ahlak yang kukuh gabungan daripada dua perkara asas di atas. untuk taqarrub ilallah, akhlak yang kukuh teramatlah penting terutamanya hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia. Nak tengok akhlak yang paling menarik dan berperibadi mulia, tak lain tak bukan tengoklah, hayatilah kisah hidup sejarah Rasulullah S.A.W. Kita akan dapat menilai sendiri. Dalam mukjizat Allah kepada baginda juga, Allah tak pernah sebut nama Muhammad sahaja.
Rasulullah kekasih Allah yang paling mulia, Allah mengangkatnya dengan memanggil panggilan yang lebih sopan seperti "muhammadun rasulullah" , "ya nabi" , dan sebagainya.

Baginda dalam hadisnya bersabda bermaksud : bukanlah sifat orang mukmin itu pencaci, pelaknat, dan tidak juga busuk mulutnya iaitu suka mencaci dan mencarut. orang yang bercakap baik dan lemah lembut akan diberi ganjaran baik oleh Allah di dunia dan akhirat. ( at-tarmizi)

Imam Hassan Al-Banna menyenaraikan beberapa unsur dalam kewajipan seorang da'i iaitu :
*sensitif (kepada maksiat dan dosa)
*tawadhu'
*benar dalam perkataan dan perbutan ( amanah )
*tegas ( dalam beramalan )
*tunaikan janji
*berani ( kerana kebenaran )
*serius ( untuk perkara maksiat dan beribadah )
*menjauhi teman yang boleh tarik kita kepada negatif ( kalau kita rasa tak mampu nak tarik dia, jauhilah)


4.) Qawiy Al-Jismi

Seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan islam dengan sebaik- baiknya dengan fizikal yang kuat. antaranya amalan seperti solat , puasa , zakat , haji dan sebagainya berjihad di jalan Allah. tetapi, kadang-kadang sakit adalah sesuatu yang wajar dan normal bagi seorang manusia yang bergelar hamba. sebab apa? sebab sakit juga adalah proses mensucikan kita daripada dosa-dosa kecil.

Rasulullah bersabda dalam hadisnya mafhum : " mukmin yang kuat itu lebih aku baik , dan lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah , tetapi pada keduanya ( sihat dan sakit) ada kebaikan . 
(hadis riwayat muslim) 


5.) Mutsaqqal Fikri

Salah satu sifat Rasulullah yang kita sememangnya dah tahu, adalah fathanah (bijaksana) . al-quran sendiri banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir dan mengambil hikmah dari setiapnya yang ada kebaikan. dalam skop ini, kita mesti didik diri dengan tarbiyyah al-thaqafiyyah iaitu tarbiyyah yang melazimkan diri mendekatkan diri dan menghadiri para ilmuwan yang secara universal. Intelektual dalam berfikir mengajak dan merangsang kita untuk mendalami semua bidang ilmu dan isu semasa yang berlaku pada zaman sekarang, supaya sebagai ummatan wasatan (umat pertengahan - cintakan akhirat dan tak tinggalkan dunia) , kita mampu untuk bergerak dengan ilmu yang kita dalami walaupun tidak pakar, dan untuk bidang khusus yang kita pilih, pesan imam hassan an-banna , cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi. Pada zaman menghampiri kiamat ini, tarbiyyah al-thaqafiyyah sangat penting untuk kita menangkis , menolak segala serangan orientalis barat dan dalam masa yang sama, berusaha meyakinkan umat islam yang lain.


6.) Mujahadah li nafsih

Berjuang melawan hawa nafsu, aspek ini sangat penting untuk membina rasa kehambaan kepada Allah. Allah bahkan membina satu pintu daripada lapan pintu syurga untuk orang yang berjaya berjihad melawan hawa nafsu. Jihad ini terbahagi kepada 3 iaitu jihad zhahir iaitu jihad melawan orang yang tak sembah Allah. jihad yang kedua adalah, jihad menghadapi orang yang menyebarkan ilmu dan hujah yang batil. tetapi jihad ketiga adalah jihad yang paling besar diantara jihad yang lain. jihad yang ketiga adalah jihad akbar, iaitu jihad melawan hawa nafsu.
Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud: tidak beragama seorang daripada kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.  ( hadis riwayat hakim) 


7.) munazzhomun fi syu unihi

Teratur dalam setiap urusannya, iaitu setiap perkara yang dilakukan  perlu ada disiplin, bersungguh-sungguh , sanggup berkorban , amanah dan istiqamah. Untuk lebih spesifik, masing-masing perlu ada jadual diri. tidak semestinya hanya jadual harian tetapi juga jadual ibadah .Kita bukanlah seperti sahabat-sahabat rasulullah atau para ulama yang sentiasa konsisten dalam beribadah, disebabkan itulah kita wajib buat satu jadual ibadah. Tetapi yang utama , perlu betulkan niat kerana Allah. jadual ibadah kitan , tak perlu tunjukkan atau tayang-tayangkan untuk tujuan menarik perhatian bahawa kononnya ibadah kita banyak. tak!! Utamakan niat. andai dah buat jadual, berusaha untuk konsisten dan istiqamah. jangan jadikan malas dan alasan sebagai penghalang. kerana alasan itulah alasan yang membunuh rohani kita dalam membina jiwa kehambaan.


8.) Qadiran 'ala al-kasbi

Percaya kepada diri, ada sifat daya usaha yang tinggi. Bergantung kepada diri sendiri, bukan mengharapkan orang lain. menjadi muslim yang bersemangat dan tidak mudah berpaling kepada keburukan, kuat, dan teguh hati dalam menolak perkara mungkar dan dosa .
Contohnya, kalau kita berada dalam sebuah organisasi kepimpinan, kita lihat ada perkara yang berkait dengan dosa, maka kita perlu bertindak sebagai orang yang ada daya usaha untuk ubah perkara mungkar tersebut.
Di samping itu, pesan ustaz saya, jangan lupa untuk berdoa kepada yang Maha Menguasai supaya tidak dibolak-balikkan hati kita , sebabnya kita tak tak tahu, kemungkinan apakah yang akan  berlaku kepada kita pada masa akan datang. Jangan menyangka kita akan sentiasa jadi baik. mintalah doa agar selalu diberi hidayah dan nur 'izzah.


9.) harisun 'ala waqtihi

menjaga masa dengan bijak, ini ada'ah amanah . dalam al-quran, Allah banyak bersumpah dengan menyebut nama seperti "walfajri" , "waddhuha" ," wal'asri" , "wallail" dan sebagainya . Dalam sehari , kita diperuntukkan masa 24 jam untuk kehidupan seharian, dalam masa 24 jam lah kita beribadah, bekerja, belajar, melakukan perkara yang sia-sia dan sebagainya. kalau dihitung-hitung, alangkah sedikitnnya masa 24 jam itu. dalam masa 24 jam ini juga , ada manusia yang rugi dan ada yang beruntung. Bergantung kepada bagaimana dan ke mana 24 jamnya diuruskan.
Saidina Umar Al-Khattab berpesan : ketika pagi, jangan diharapkan petang dan ketika petang jangan diharapkan waktu pagi. 


10.) Nafi'un Lighairih

Di mana sahaja, ke mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, kita perlu simpan niat untk sentiasa beri manfaat kepada orang disekitar kita. Untuk ikhlas dalam memberi manfaat, perlu ada rasa rela berkorban , tebalkan hati dan terima baik dan buruk. Belajar memberi manfaat, kepada sesiapa sahaja hatta dengan manfaat senyuman. ya, senyuman juga adalah manfaat. Dalam memberi manfaat, tidak ada rasa futur (putus asa) , atau kata-kata seperti ,"sabar saya ada batasnyam jangan cabar had sabar saya".. untuk orang yang benar-benar faham konsep memberi manfaat kepada orang lain, insya Allah .
pesan mentor saya : jangan rasa penat nak buat baik sebab penat akan hilang dan pahala akan dapat, tapi jangan rasa seronok buat jahat sebab seronok akan hilang dan dosa akan dihitung. 

WALLAHUA'LAM

STARHEARTYUSRA (S.H.Y) 

No comments:

Post a Comment